Surat Hj. Shaari Kepada Pihak JAKIM, KDN dan Majlis Fatwa

 

Shaari Mohd Yusof,
Blok A-2-2, Quarters Guru Benus,
Bentong, 28700 Pahang.

Pengarah,
Kementerian Dalam Negeri,
Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks Al-Quran,
Blok D, Pusat Pentadbiran, Kerajaan Persekutuan,
62546 Puterajaya.

Tarikh: 27 November 2016

PER: RAYUAN BAGI TUJUAN MEMOHON KEBENARAN UNTUK BERTEMU

Tuan, adalah saya Haji Shaari Bin Hj. Mohd Yusof dengan rendah diri menyusun jari sepuluh agar pihak tuan dapatlah kiranya mempertimbangkan untuk saya bertemu muka dengan kakitangan jabatan tuan.

1. Tuan, sebelum buku-buku itu diterbitkan, saya dengan rasa kebertanggungjawaban telah terlebih dahulu menghantar buku-buku itu untuk semakan pihak JAKIM. Bolehlah pihak tuan menyemak surat-surat saya kepada pihak JAKIM yang sebanyak 4 kali meminta disemak dan memanggil saya untuk membuat pembetulan, tunjuk ajar serta memperbaiki mana-mana kesilapan. Namun sampai ke hari ini, tidak ada satu keping surat balasan dari pihak JAKIM.

2. Tujuan saya menghantar buku-buku terbitan saya kepada JAKIM adalah bertujuan untuk mendapatkan semakan, pengesahan dan teguran. Saya selaku murid sekolah yang bodoh ini, minta pihak cikgu sekolah (pihak JAKIM) memeriksa, menyemak dan memperbetulkan kesilapan, malahan sebaliknya saya “dirotan”. Pihak sekolah (Jabatan JAKIM) sepatutnya bertindak selaku pengajar, pembimbing, pendidik dan pihak JAKIM sepatutnya menjadi tempat rujukan, menjadi tempat murid-murid mengadu dan tempat murid-murid mendapat teguran serta tunjuk ajar, sebaliknya pihak JAKIM “bukan menjadi tempat mendidik” malahan menjadi “tempat menghukum” (JAKIM bukan tempat mendidik sebaliknya menjadi tempat menghukum).

Kalau inilah konsep penubuhkan JAKIM dan FATWA, alangkah malangnya bagi anak-anak murid. Di mana lagikah institusi yang tertinggi dalam agama kalau bukan JAKIM dan FATWA? Salahkah dan tidak bolehkah rakyat biasa menulis buku-buku dalam bentuk makrifat (mengenal Allah)? Apakah agama Allah itu milik orang-orang yang memiliki sijil daripada Universiti Al-Azhar sahaja? Sedangkan ilmu Allah itu, adalah kepada sesiapa yang dikehendaki Allah!

Nak dikatakan saya melanggar undang-undang, sedangkan sebelum saya terbit buku-buku itu, terlebih dahulu saya telahpun serah kepada pihak Jabatan JAKIM untuk mendapat semakan dan kajian. Lainlah kalau saya tidak melalui JAKIM, maka bolehlah menuduh saya mencetak secara haram. Sebaliknya saya sudahpun hantar naskah-naskah kitab tersebut kepada jabatan tuan untuk semakan pihak tuan. Apakah ada lagi cara lain untuk saya ajukan?

3. Tuan KDN, saya selaku pengarang jalanan, di manakah lagi tempat untuk saya mengadu dan untuk saya buat rujukan kalau bukan kepada JAKIM, FATWA dan KDN. Sudah kesekian kali surat rayuan saya dihantar kepada pihak-pihak tuan. Kesekian kali juga saya datang ke pejabat tuan dan berjumpa dengan pegawai tuan untuk memperbincangkan perkara ini. Kalaupun saya ada membuat kesilapan dan kesalahan dalam menulis, tidak bolehkah pihak tuan memanggil saya untuk membuat pembetulan, diberi teguran dan untuk diberi tunjuk ajar. Kalaupun ada kesalahan dan kalaupun ada kesilapan dalam penulisan saya dalam sesetengah bab, tidaklah menjadikan keseluruhannya menjadi salah. Dalam banyak-banyak tajuk dan banyak-banyak bab, tidak adakah sedikit yang baik, tidak adakah sedikit yang betul dan tidak adakah sedikit yang benar, sehinggakan diharamkan keseluruhannya?

4. Tuan, keputusan pihak FATWA memutuskan buku-buku keluaran saya itu haram, adalah di atas dasar cadangan dari pihak JAKIM. Kalau boleh saya bertanya di sini, yang menyemak buku-buku keluaran saya itu, adalah mereka-mereka yang berkelulusan Syariah (Syarie), sedangkan karangan atau tulisan saya itu adalah dalam bentuk ilmu makrifat atau bentuk tulisan serta kefahamannya juga sudah tentu mengikut suluhan makrifat dan mengikut sudut kaca mata makrifat!

Apakah pihak tuan ada kepakaran dan ada kemahiran dalam bidang ini? Bidang ini (bidang ilmu makrifat) tidak ada di sekolah-sekolah sekarang dan tidak ada di pusat-pusat pengajian tinggi sekarang, melainkan ilmu ini hanya ada dan hanya dimiliki oleh dada-dada para mukmin yang sesiapa dikehendaki Allah.

Ilmu makrifat itu, adalah ilmu yang memerlukan kemahiran khusus, yang membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan perkara-perkara zuk, perkara-perkara rasa dan perkara-perkara di sebalik huruf.

5. Cadangan atau keputusan pihak JAKIM kepada Jabatan FATWA untuk menuduh buku-buku keluaran saya itu haram dan ajaran dari kitab itu sesat, adalah sama sekali tidak berasas dan benar-benar tidak adil (itu satu keputusan yang sama sekali tidak adil dan tidak berasas). Mereka memanggil saya melalui telefon pada tengah harinya dan suruh datang berjumpa mereka pada pagi keesokkan harinya (tak sampai 12 jam). Dari Kelantan saya datang dengan harapan agar mendapat jawapan dari surut-surat saya, sebaliknya kedatangan saya pada hari itu, adalah bertujuan untuk mengharamkan buku-buku karangan saya, tanpa alasan yang kukuh dan tanpa diberi peluang untuk saya membelanya (diharamkan tanpa diberi penjelasan yang sewajarnya).

Saya bertanya kepada mereka, tentang kesalahan dan kesilapan itu pada muka surat berapa dan perenggan mana? Saya merayu beberapa kali kepada pihak yang hadir pada hari itu, untuk datang ke pejabat, bertemu dengan kakitangan mereka untuk mendapat penjelasan lanjut, malangnya seolah-olah tidak ada ruang langsung untuk saya. Sejahil-jahil dan sebodoh-bodoh saya, saya telah menerbitkan 11 judul buku makrifat. Sedangkan kakitangan KDN, kakitangan Majlis FATWA dan kakitangan JAKIM sendiripun tidak ada yang menulis, mengarang atau menerbit judul-judul buku yang sebegitu banyak (ketebalan setiap buku hampir mencecah 500 sehingga 600 muka surat). Kalau tidak menjadi kesalahan, izinkan saya untuk bertanya, seramai-ramai pegawai di jabatan JAKIM, pegawai di Majlis Fatwa dan seramai-ramai kakitangan di Jabatan KDN itu, berapa keratkah, berapa ramaikah dan berapa orangkah yang menulis kitab atau mengarang buku? Apa lagi untuk mengarang kitab-kitab berbentuk ilmu makrifat, dalam bentuk ilmu biasapun tidak ramai yang menulis, sedangkan saya yang bodoh dan yang tidak berpelajaran Azhar inipun, sudah dan telahpun menerbitkan sebanyak 11 judul kitab yang tebal-tebal dan akan menyusul lagi 17 judul tidak lama lagi. Apakah tuan tidak menghargainya? Kakitangan tuan dan tuan sendiripun tidak menulis sebagaimana banyaknya saya menulis, mengarang dan menerbit buku-buku dan kitab-kitab.

Tuan, kita ada kelebihan sendiri-sendiri, tuan lebihnya kepada ilmu feqah dan saya pula lebihnya kepada ilmu makrifat! Kalaupun salahlah ilmu makrifat yang saya tulis, yang saya ajar dan yang saya terbitkan, apa salahkah kalau pihak tuan memanggil saya, jemput saya dan apa salahkah kalau tuan mempersilakan saya datang ke pejabat tuan, bertanya dari mulut saya sendiri dari tuannya sendiri. Saya mahu belajar, saya mahu mendapat tunjuk ajar dan saya memohon untuk mendapat bimbingan dari pihak tuan, agar tulisan saya yang akan datang ini tidak lagi dituduh haram dan supaya tidak lagi dilabel sesat!

Ini kitab ilmu makrifat yang memerlukan kepakaran dalam bidang makrifat (yang tidak ada di universiti-universiti). Kalaupun tulisan saya itu salah, apa salahnya diberi tunjuk ajar, diberi pembetulan dan diberi penerangan yang sewajarnya. Kalaupun ada yang silap, salahkah kalau diberi tahu atau dimaklumkan muka surat ke berapa dan perenggan ke berapa? Jadi tidaklah saya menjadi penasaran dan tidaklah saya tertanya-tanya. Apa salahnya saya dipanggil dan apalah salahnya saya diberi peluang untuk berjumpa kakitangan pihak tuan “yang bersesuaian dengan ilmu ini”, sekurang-kurangnya saya tahu di mana silap dan di mana salahnya.

6. Dalam persidangan pihak Majlis Fatwa bersama saya tempoh hari, hal kesilapan buku tidak langsung disentuh. Melainkan pada pertemuan itu, lebih membicarakan soal perkara-perkara persoalan berkenaan dengan perkara-perkara peribadi dan hal tahap pendidikan saya, iaitu mengenai asal usul pendidikan agama saya, belajar dengan siapa, suruh saya sambung ayat Quran (sedangkan saya bukan Al-Hafiz), bertanyakan kitab-kitab rujukan yang saya baca (sedangkan ahli kitab sendiri ada yang tidak faham apa yang mereka baca). Ilmu faham itu milik Allah kepada sesiapa yang dikehendaki. Kalaupun dibaca 1000 kitab, belum tentu mendapat faham, kalau tidak dizinkan Allah untuk faham. Tambahan pula kefahaman ilmu kitab itu ada 4 tingkatan: Faham dari segi suluhan ilmu syariat (ilmu feqah), faham dari segi suluhan ilmu tarekat, faham dari segi suluhan ilmu hakikat dan faham dari segi suluhan ilmu makrifat! Suluhan ilmu tulisan saya adalah mengikut sudut pandang ilmu makrifat sedangkan pihak tuan menentukan salah dan haram dalam suluhan ilmu feqah (ilmu syariat), mana mungkin tulisan saya ini bertemu benar oleh pihak tuan, melainkan salah dan sesat yang tuan nampak kerana suluhan pihak tuan itu, adalah pandangan mengikut suluhan kaca mata ilmu syariat (suluhan ilmu feqah).

Suluhan ilmu feqah (suluhan ilmu syariat), mana mungkin bertemu benar oleh pihak tuan, melainkan pihak tuan hanya nampak sesat, haram dan hanya nampak salah terhadap penerbitan buku-buku tulisan saya, yang mana rata-rata tulisan saya itu adalah berunsurkan makrifat.

7. Saya menyusun jari sepuluh dan dengan rasa rendah diri, merayu dengan bersungguh-sungguh kepada pihak Majlis Fatwa, kepada pihak JAKIM dan kepada pihak KDN, panggillah saya, kita buat pertemuan dan kita buat sesi muzakarah dari hati ke hati. Jangan pula panggil saya seperti yang Majlis Fatwa buat kepada saya baru-baru ini. Contoh: Saya seorang murid yang baru hendak belajar menulis dan baru nak belajar mengarang, hantar hasil karangan dan hantar hasil tulisan kepada pihak cikgu untuk diperiksa. Tiba-tiba cikgu panggil saya dengan disediakan rotan dan bukan sahaja tunjuk rotan dalam bentuk rotan sebaliknya mendapat rotan. Anak murid minta ditunjuk ajar, sebaliknya mendapat rotan! Inikah institusi pendidikan dan inikah cara pihak agama kita?

Masa pertemuan saya dengan pihak Majlis Fatwa suatu ketika dulu, pihak Majlis Fatwa diwakili seramai berpuluh-puluh orang peserta (jumlah tepat saya tak ingat dan kalau tak salah saya seramai 60 orang lebih). Sedangkan saya hanya ditemani oleh seorang rakan. Saya ingat dipanggil untuk tujuan perbincangan biasa sebaliknya Majlis Fatwa menyediakan seumpama ada guru besar, ada guru disiplin, ada pengetua, ada pengawas dan ada rotan di atas meja. Beginikah caranya mendidik, mengajar dan membimbing? Kalaupun saya seorang peguam yang pintar yang hebat sekalipun pasti akan merasa gugup, merasa terkejut dan merasa takut. Bagaimana nak berbincang dalam keadaan takut? Cuba bayangkan kalau kita seorang guru mengajar murid di hadapan guru besar (di hadapan guru pelawat)? Kedatangan saya pada hari itu, adalah bertujuan dengan harapan cikgu memberi markah sebaliknya cikgu memberi rotan, bagaimana mungkin murid boleh bersuara?

Oleh itu, saya minta dibukalah pintu hati pihak tuan supaya menjemput saya, kita sama-sama berbincang mengenai duduknya perkara. Kita sama-sama ingin berjuang untuk menegakkan kebenaran demi agama, demi bangsa dan demi generasi anak-anak kita masa hadapan dengan “cara yang halal”.

Sepatutnya setiap soalan yang salah dari pihak murid, pasti ada jawapan yang benar dari pihak cikgu, apa salahnya kalau dipanggil dan diberi tunjuk ajar yang benar. Kalaupun seorang murid melakukan kesalahan, tidak bolehkah diberi tahu muka surat berapa dan kenapa, supaya dapat murid tahu mana salah dan di manakah silapnya agar dapat diperbetulkan. Dikeranakan saya mentimun dan pihak Majlis Fatwa, JAKIM dan KDN adalah durian, makanya pihak tuan selalu menggunakan pendekatan menghukum berbanding pendekatan mendidik. selaku rakyat biasa apalah yang dapat saya buat.

Pada suatu masa, saya pernah terfikir untuk melantik peguam untuk melawan pihak tuan. Sayangnya tidak ada peguam yang berpendidikan ilmu makrifat. Ilmu yang saya bawa ini adalah ilmu makrifat, sedangkan lawan yang hendak saya lawan itu adalah berilmu syariat, jadi peguam manakah yang hendak saya cari untuk melawan hujah-hujah tuan? Saya pernah terfikir untuk mencari peguam untuk mewakili saya, demi untuk menegakkan ilmu makrifat di bumi Allah ini. Ilmu makrifat ini adalah ilmu fardhu ain (iaitu ilmu wajib), tetapi sayangnya tidak ada tokoh makrifat yang ada di bumi Malaysia kita ini untuk dijadikan role model.

Di jabatan-jabatan tuan sendiripun tidak ada yang berpelajaran ilmu makrifat dan tidak ada jurusan makrifat, jadi tidak ada cara untuk saya mempertahankan diri saya, tidak ada kaedah untuk menegakkan hujah saya dan tidak ada sesiapa yang boleh memperjuangkan ilmu saya. Saya bersendirian sedangkan tuan lengkap dengan senjata, dengan kereta kebal dan dengan peluru. Itu makanya saya memohon jasa baik tuan panggillah saya, kita buat sesi muzakarah secara damai, secara persahabatan, secara halus, secara tenang dan bukan sebagaimana yang dibuat oleh pihak Majlis Fatwa. Pertemuan yang dibuat dan yang diatur oleh pihak Majlis Fatwa tempoh hari itu, usah kata saya, jeneral polis sekalipun akan kecut perut. Mereka bukan berniat untuk mendidik tetapi berniat untuk menghukum!

Mahkamah jenayahpun ada sesi pembelaan dan ada sesi mempertahankan diri sebaliknya apa yang dibuat oleh pihak Majlis Fatwa itu, adalah sesi untuk membunuh dan menghukum. Seolah-olah pihak Fatwa sahaja yang betul dan benar. Apakah penulis biasa juga tidak ada hak? Saya mengeluarkan buah fikiran melalui buku-buku. Kalau ada yang tak betul apa salahnya ditegur? Apa sudah tidak ada kaedah lain lagikah selain dari jalan menghukum.

8. Tuan, sekarang memang rakyat boleh berdiam diri menerima apa sahaja hukuman dari pihak berkuasa agama tanpa pembelaan, namun pada suatu hari nanti, suatu saat nanti dan pada suatu ketika nanti, rakyat pasti akan bangkit melawan, memberontak dan menentang pihak berkuasa agama. Malahan sekarang inipun secara diam-diam sudah ramai masyarakat yang sudah mula menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terhadap penguasa agama di negara kita. Malangnya mereka tidak ada saluran untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati mereka. Kalaulah ada tempat untuk mereka mengadu, saya pasti ramai yang akan tampil ke hadapan menentangnya. Rakyat tidak diberi hak untuk mempertahankan diri sekalipun untuk memberi pandangan dalam hal-hal keagamaan. Apa salahnya saya dipanggil dan diberi tahu terdapat kesalahan atau terdapat kepincangan di mana-mana muka surat supaya saya tahu di mana salah dan di mana silap. Sedangkan sebanyak 4 kali saya tulis surat kepada JAKIM dan 2 kali kepada KDN supaya saya diberi peluang berjumpa untuk berbincang. Saya boleh datang pada bila-bila masa yang terlapang oleh pihak tuan. Secara berseorangan pun boleh dan kalau tuan nak kumpul kakitangan tuan secara beramai-ramai pun boleh.

Ilmu makrifat sudah pupus dan hampir lenyap, kalau tidak kita memperjuangkannya siapa lagi. Kalaulah makrifat yang saya bawa ini salah, silap, sesat, songsang atau memesongkan akidah, sila berilah kami petunjuk makrifat yang betul, makrifat yang benar, makrifat yang tidak songsang dan makrifat yang tidak terpesong. Perkenalkan kepada kita semua siapakah guru makrifat yang benar dan guru makrifat yang betul? Sila perkenalkan kepada kami siapakah di kalangan kakitangan pihak tuan yang berilmu makrifat untuk dijadikan tempat kami merujuk.

Kalau ada kakitangan tuan yang berilmu makrifat, kenapa tidak diujudkan bahagian khusus dalam bidang makrifat. Kenapa tidak ilmu makrifat ini dibawa ke khalayak ramai, sampai bilakah ilmu makrifat ini hendak disorok dan sampai bila ilmu makrifat ini hendak disembunyikan kepada pengetahuan umum. Perkenalkan tokoh-tokoh makrifat yang berilmu makrifat supaya boleh kita bawa berceramah di masjid-masjid, di forum-forum dan dimasukkan dalam siaran televisyen.

Saya mohon maaf kalau tulisan dan isi kandungan surat saya ini kelihatannya seperti menghina jabatan tuan, saya tidak sedikitpun di hati terlintas untuk menghina tetapi inilah adalah kenyataan sebenar isi hati saya dan isi hati seluruh masyarakat kita. Untuk mendapatkan seorang tokoh yang berilmu makrifat untuk dijadikan tempat rujukan! Saya nak rujuk buku-buku makrifat yang saya tulisan ini kepada orang yang berilmu makrifat, barulah dia faham apa yang saya tulis. Kalau kita rujuk kepada yang bukan ahli dan kalau disemak oleh orang yang bukan ahli, inilah jadinya.

9. Kalaupun ada yang salah dan ada yang silap, tidak bolehkah diperbetulkan dan diberi tunjuk ajar. Buku karangan Arwah Dato’ Harun Din pun, suatu masa dulu bukunya juga pernah diharamkan inikan pula saya yang bukan dari kalangan ulama. Jabatan kerajaan sepatutnya menjadi tempat mendidik bukan menjadi tempat menghukum.

Bukan tujuan kami untuk menyesatkan orang atau untuk memesongkan akidah orang. Tidak ada seorang doktor pun yang mahu lihat pesakitnya mati. Kita sama-sama mahu merawat bukannya untuk mematikan pesakit. Begitu juga saya, saya tidak ajar menyembah selain Allah.

Kalau sekalipun nak tuduh buku-buku keluaran saya itu sesat, haram dan memesongkan orang, jangan kita haramkan orang di atas hal-hal peribadi. Mari kita sama-sama selak satu persatu buku-buku keluaran saya itu, muka surat mana yang dikatakan haram?

Mari kita bincang, kita lihat dan kita sama-sama semak Bab Solat, Bab Puasa, Bab Haji, Bab Zakat, Bab Syahadah, Bab Mengenal Diri dan Bab Mengenal Allah. Jangan sahaja kita cari kesalahan dalam bab peribadi sehingga nak mengharamkan semua buku. Di bawah ini saya ada lampirkan khas jawapan dan hujah-hujah saya dalam menjawab dakwaan tuan. Rata-rata hanya diharamkan merujuk kepada soal peribadi dan bukannya merujuk pada soal pokok iaitu soal permasalahan khusus solat, sebenar-benar puasa, sebenar-benar syahadah, sebenar-benar mengenal diri atau mereka tidak memperbincangkan perkara permasalahan cara mengenal Allah. Kalau tuan-tuan nak tahu, sila rujuk lampiran yang saya lampirkan dan buatlah pertimbangan dengan apa yang saya perkatakan.

10. Tuan, ke mana lagi tempat saya mengadu, kalau tidak kepada KDN. Oleh itu saya dengan rasa hormat kepada jabatan-jabatan kerajaan, dengan rasa rendah diri selaku rakyat biasa (selaku pengarang biasa) menyusun jari sepuluh, sangat-sangat berharap agar rayuan surat saya ini didengar dan mendapat pertimbangan oleh pihak tuan. Saya bermohon sangat-sangat agar menggugurkan segala larangan terhadap terbitan saya.

11. Tuan, kalau dibaca buku-buku karangan Tok Kenali dengan teliti dan ikhlas. Di situ tuan-tuan akan mengalirkan air mata, betapa kita ini tersangat jauh dengan Allah Taala. Di situ tuan-tuan akan bertemu dengan apa yang tuan cari selama hidup ini, yang tidak terdapat di mana-mana kitab yang lain. Inilah sebenar-benar ilmu yang kita cari selama ini. Pendekatan mengenal diri sebenar-benar diri mengenal Allah sebenar-benar Allah. Allah yang bukan sekadar lafaz, Allah yang bukan sekadar nama sebutan bibir mulut. Inilah kitab yang memperihalkan tentang penyerahan diri yang sebenar-benar penyerahan yang jarang terdapat dalam kitab-kitab terkini. Inilah sebenar-benar ilmu peninggalan ulama besar kita Tok Kenali Kelantan. Malangnya tuan-tuan baca dengan mata tertutup dan tidak memanfaatkan kandungan isi di dalamnya, tuan-tuan baca dengan menggunakan mata zahir dan tidak baca dengan menggunakan mata hati, itulah makanya tuan-tuan menyalahkan penerbitan kitab-kitab ini.

12. Akhir sekali, saya merayu kepada pihak tuan, berilah peluang kepada saya untuk mempertahankan hak saya dan diminta mengugurkan larangan penerbitan buku-buku Tok Kenali keluaran saya. Kalau diberi keizinan dari pihak tuan, ingin saya melantik seorang peguam untuk membela permohonan rayuan saya ini. Saya merayu kepada tuan, berilah jalan, berilah kaedah atau cara mana untuk saya mempertahankan karya saya (apakah boleh saya melantik peguam), itupun kalau tidak menjadi kesalahan oleh pihak tuan, agar dapat saya mempertahankan hak saya sebagai penerbit dan supaya juga dapat mempertahankan kebenaran.

13. Dikepilkan surat rayuan saya kepada pihak tuan. Surat asal kepada KDN tidak dapat saya kesan kerana hilang dari simpanan. Namun saya kepilkan surat yang saya kirim kepada JAKIM yang mana isi kandungan serta tarikhnya juga adalah sama.

Sekian dulu dari saya, saya dahului dengan ucapan terima kasih dan wasalamualaikum.

Saya Hj. Shaari Bin Hj. Mohd Yusof,
Penerbit Kitab Tok Kenali Kelantan,
27hb September 2016.

Lampiran:

[1-11 10:12 PG] i. Bertentangan dengan fakta sejarah
Dakwaan ilmu yang diperolehi adalah peninggalan ilmu Syeikh Daud al-Fatani yang diwarisi oleh dua ulama terkenal, iaitu Tok Kenali dan Tok Selehong adalah satu pembohongan, kerana kedua ulama tersebut tidak sempat berguru dengan Syeikh Daud Al-Fatani yang meninggal tahun 1846, iaitu lebih 22 tahun sebelum kelahiran kedua-dua ulama tersebut.

[1-11 10:12 PG] 3. Haji Shaari bin Mohd. Yusof tidak pernah mendapat pendidikan agama di mana-mana sekolah agama atau pondok. Beliau memperoleh diploma dalam bidang Pentadbiran dan Undang-Undang UiTM Shah Alam, Selangor dan pernah berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia.

[1-11 10:12 PG] (v) Mohd Yusof Cik Wook tidak pernah menjadi tenaga pengajar di Pondok Kubang Bemban, Pasir Mas Kelantan seperti didakwa Haji Shaari.

[1-11 10:12 PG] Pluralisme dalam akidah dan tarikat. Menurut dakwaan Haji Shaari, Tok Kenali berpesan; bertarikatlah apa saja benar belaka, Tarikat Naqsyabandiah, Tarikat Ahmadiah semuanya menuju Allah. Muktazilah, Qadariah, Jabariah, Syiah, Wahabi dan lain-lain semuanya sama asalkan menuju Allah. Dakwaan ini jelas bertentangan dengan dasar yang telah disepakati oleh ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah.
[Voice message]
115 KB

Mereka hanya mendakwa saya sesat atas dasar fakta tarikh sejarah dan hal-hal yang bersangkut paut dengan peribadi tetapi mereka tidak mendakwa atas dasar ilmu.

Jawapan atau pembelaan diri daripada Haji Shaari:

1) Menjawab Soalan Pertama: Yang menuduh bahawa Tok Selehong dan Tok Kenali tidak pernah belajar dengan Syeikh Daud Al- Fatani. Di sini sukalah saya bertanya kepada tuan. Tuan belajar, menimba, menuntut dan mempelajari ilmu peninggalan Imam ghazali, apakah tuan pernah hidup sezaman dengannya? Kita belajar ilmu, tidak semestinya dari diri guru. Adakalanya kita belajar dari kitab-kitab, tidak kurang pula ada yang belajar melalui pewaris-pewaris dan ada yang belajar dari sahabat-sahabatnya. Yang keduanya, ilmu yang kita warisi itu, ada kalanya melalui mulut ke mulut. Jangan jadikan tarikh mula belajar ilmu untuk dijadikan kayu mengukur kefahaman seseorang. Sebaliknya tarikh kefahaman ilmu itu sendirilah sepatutnya menjadi tanda aras pencapai sesuatu ilmu dan bukan tarikh mula belajar (Jangan kita kira masa bermula tetapi mari kita kira tarikh kesudahannya).
Kenapa kita masih ikut kitab-kitab “Ihya ulumuddin” karangan Iman Ghazali, sedangkan kita tidak hidup sezaman dengan Iman Ghazali dan tidak hidup sezaman dengan para-para sahabat Nabi. Begitu juga Tok Kenali dan Tok Selehong dan Syeikh Ahmad Al-Fatani. Mereka tidak seusia dengan Syeikh Daud Al-Fatani dan tidak berguru dengan batang tubuh Syeikh Daud Al-Fatani tetapi berguru dengan ilmu Syeikh Daud Al-Fatani. Yang ketiganya pula, ilmu para guru terdahulu ada yang tercatat dan ada pula yang hanya melalui mulut ke mulut. Sebagaimana Abu Hurairah yang menerima dua bejana ilmu dari Rasulullah. Ada bejana ilmu yang boleh disurat (atau boleh dihabur kepada masyarakar umum) dan ada ilmu yang tidak boleh dihaburkan (melainkan timbul fitnah). Sesungguhnya, ilmu Syeikh Daud Al-Fatani itu diambil oleh Syeikh Ahmad Al-Fatani dan disampaikan pula kepada Tok Selehong dan Tok Kenali semasa mereka sama-sama di Kota Mekah. Itulah menurut cerita yang dapat saya dengar dari mereka-mereka terdahulu (kerana saya bukan pakar dan bukan ahli sejarah).

2) Jawapan Soalan Kedua: Yang menuduh Haji Shaari bin Haji Mohd Yusof, tidak pernah mendapat pendidikan agama di mana-mana sekolah agama atau pondok. Memang benar saya tidak pernah belajar sekolah pondok. Persoalannya di sini, apakah agama Islam itu hanya untuk orang pondok sahaja? Apakah orang yang tidak belajar pondok tidak boleh untuk bercakap tentang agama? Apakah agama itu untuk orang sekolah pondok dan orang sekolah arab sahaja? Apakah orang yang bukan dari sekolah pondok seperti Profesor Dr. Mohaya dan Dato’ Fazilah Kamsan itu pernah sekolah pondok? Kenapa Dr. Mohaya dan Dato’ Fazilah Kamsan boleh bercakap agama dan kenapa bila sampai kepada Hj. Shaari ianya menjadi tidak boleh? Ustaz Kazim juga tidak mengaji pondok dan tidak berkelulusan Al-Azhar (hanya setakat kolej sahaja) kenapa pula boleh bercakap agama? Ilmu agama Allah itu, bukannya milik sesiapa, bukan milik tuan-tuan sekalipun tuan-tuan lepasan dari Universiti Al-Azhar. Ilmu Allah itu adalah milik Allah yang akan diberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Sekurang-kurangnya saya itu, ada juga berkelulusan diploma pentadbiran undang-undang, yang semestinya wajib lulus undang-undang syariah dan undang-undang sivil sebelum lulus bagi mendapat diploma. Apakah semua orang yang hendak bercakap agama itu kena masuk universiti Al-Azhar dahulu atau kena sekolah pondok dahulu? Ilmu agama Allah itu bukannya milik orang-orang sekolah pondok, bukan milik guru, bukan milik Universiti Al-Azhar sebaliknya ia milik sesiapa yang dikehendaki Allah.

3) Jawapan Soalan Ketiga: Yang menuduh dan meyangkal Haji Mohd Yusof sebagai tenaga pengajar (sebagai guru) dan dikatakan tidak pernah menjadi tenaga pengajar di pondok Haji Roni, Kubang Bemban, Pasir Mas Kelantan. Sedangkan beliau adalah salah seorang tenaga pengajar (pernah menjadi salah seorang guru) dipondok Kubang Benban Pasir Mas Kelantan pada sekitar tahun 1950-an. Sebaliknya orang yang menuduh Hj. Mohd Yusof Cik Wook bukan guru pondok, tidak boleh untuk membuktikan yang Hj. Mohd Yusof itu bukan guru pondok! Mereka yang menuduh itu, tidak pernah hidup sezaman itu? Cuba buktikan yang Mohd Yusof itu bukan guru? Fakta sejarah seseorang guru, ada yang tercatat dalam lipatan sejarah dan tidak kurang pula ada yang tidak ada dalam catatan sejarah. Begitu juga sejarah kesultanan Melayu, ada sultan-sultan dan Raja-Raja yang tidak ada dalam lipatan sejarah. Begitu juga Hj. Mohd Yusof adalah seorang tokoh guru yang tidak dikenali ramai. Saya selaku anak kepada Hj. Mohd Yusof Cik Wook, mencabar pihak-pihak yang menuduh itu supaya mengemukakan bukti bahawa Hj. Mohd Yusof Cik Wook itu bukan guru di pondok itu!

4) Jawapan Soalan Keempat: Yang mengatakan Hj. Shaari mengajar konsep ilmu pluralisme (iaitu menyamakan semua agama itu benar belaka). Semua agama, semua orang dan semua anutan di dalam dunia ini, adalah berasal dari Tuhan yang sama iaitu Tuhan kepada Adam. Tuhan itu pada hakikatnya cuma satu, yang menjadi perbedaan, adalah semata-mata di atas dasar panggilan nama (panggilan sahaja yang berbeza). Kalau kita orang Islam nama Tuhan kita adalah Allah. Bagi orang hindu, Tuhan dia adalah dewa atau brahma, Tuhan bagi orang berbangsa cina kebanyakkannya adalah Buddha dan manakala Tuhan bagi orang kristian itu adalah Jesus. Tuhan bagi orang yang berbangsa India, berbangsa Melayu, berbangsa Cina dan orang yang beragama Islam, agama kristian, agama Buddha atau agama Hindu itu, semuanya hanya bertuhankan kepada Tuhan yang berbentuk nama semata-mata (baik kita yang berbangsa Melayu Islam juga hanya bertuhankan kepada Tuhan nama!). Tuhan sebenar-benar Tuhan dan Allah sebenar-benar Allah itu, adalah yang tidak berhuruf dan yang tidak bersuara, yang tidak berjirim dan yang tidak berjisim (laisa kamislihi syaiun). Allah bukan nama, Allah bukan sifat, Allah bukan afaal dan Allah bukan zat. Allah sebenar-benar Allah dan Tuhan yang sebenar-benar Tuhan itu, adalah Allah dan Tuhan yang menjadi “tuan kepada yang empunya nama!”. Sebenar-benar Islam yang benar itu, adalah bertuhankan kepada “tuan yang empunya nama”. Sedangkan Allah yang kita sebut-sebutkan itu, adalah hanya sekadar nama dari lafazan bibir. Sedangkan nama yang kita lafaz itu bukan Tuhan dan bukan Allah, itu suara bibir. Suara bibir bukan Allah. Manakah tuan yang empunya nama, tuan yang empunya sifat, tuan yang empunya afaal dan mana satukah Allah yang menjadi tuan kepada yang empunya zat? Tuhan atau tuan kepada nama Allah itu, adalah “La hurufin wala syautin” (tidak berhuruf dan tidak bersuara). Adapun Allah yang kita sebut dengan menggunakan suara bibir mulut itu, itu adalah berupa suara dan berupa angin yang keluar dari mulut, sedangkan suara atau angin itu bukan Allah. Baik Cina, baik India, baik Kristian, baik Hindu, baik Buddha mahupun Islam, semuanya bertuhankan kepada nama bukannya bertuhan kepada tuan yang empunya nama. Itu sebab saya kata semua agama itu sama, iaitu sama dalam bertuhankan kepada nama. Yang membezakan Islam dengan agama-agama lain itu adalah Tuhan Allah yang tidak berhuruf dan tidak bersuara (iaitu tuan kepada nama Tuhan dan tuan kepada nama Allah!). Sedangkan masing-masing kita beragama yang bertuhankan kepada nama panggil-panggilan.

Oleh itu, mari kita sama-sama bertuhankan kepada tuan kepada batu, tuan kepada bukit, tuan kepada langit, tuan kepada bumi, tuan kepada nama, tuan kepada sifat, tuan kepada afaal, tuan kepada zat, tuan kepada berhala, tuan kepada Kaabah, tuan kepada Malaikat, tuan kepada Syurga, tuan kepada Neraka, tuan kepada solat, tuan kepada zikir dan marilah kita sama-sama bertuhankan tuan kepada diri kita sendiri. Ini sahaja yang membezakan antara agama kita islam dengan agama-agama lain.

Kambing panggil anak dia makan dengan cara mengembek. Harimau panggil anak dia makan dengan cara mengaum dan itik panggil anak dia makan dengan cara mengekek. Salahkah harimau menggunakan bahasa mengaum dan salahkah kambing menggunakan bahasa mengembek dan salahkah itik menggunakan bahasa mengekek? Janji menuju kepada Allah yang satu (iaitu tuan kepada nama Allah itu sendiri). Berbeza cara, berbeza kaedah dan berbeza jalan, melainkan semua kita menuju kepada yang satu. Kalau tuan-tuan yang beragama Islam sekalipun, kalau tidak tahu yang satu dan tidak kenal yang satu, apa bezanya tuan-tuan dengan agama-agama yang lain? (iaitu hanya bertuhankan kepada nama (Allah) sedangkan Allah itu bukan nama), Allah yang sebenar-benar Allah itu, adalah tuan kepada yang empunya nama!

Tuduhan yang dilemparkan terhadap saya yang mengatakan saya menyamakan agama Islam (iaitu Islam yang mengenal Allah) dengan agama-agama lain itu, sama sekali tidak benar. Kita berbeza pada aspek ibadah dan kita berbeza dalam kaedah beragama tetapi “kita tidak boleh berbeza dari segi ketuhanan”. Semua agama bertuhankan kepada Tuhan yang paling gagah, paling kuat, paling tinggi, paling teratas, paling agung, paling berkuasa. Itu makanya saya katakan bahawa semua agama itu sama, iaitu sama dalam kaedah berTuhan. Mereka-mereka yang benar-benar beragama itu, adalah mereka-mereka yang bertuhankan kepada tuan yang empunya Tuhan dan tuan kepada yang empunya nama Allah.

Orang Arab berfahaman wahabi, orang Iran dan Irak berfahaman syiah dan sunni dan kita orang Malaysia berfahaman ahli sunnah wal jamaah. Apakah syurga itu untuk orang malaysia sahaja? Apakah orang Arab, orang Iran dan orang Irak itu semuanya masuk neraka dan apakah semua kafir? Apakah syurga dan Allah itu hanya milik fahaman ahli sunnah wal jamaah sahaja? Agama Allah itu luas, dalam dan jauh pengertiannya, bagi sesiapa yang memahaminya.

Inilah jawapan atau hujah-hujah daripada Hj Shaari bagi menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh pihak FATWA dan JAKIM yang dilemparkan kepada saya (Hj Shaari Hj Mohd Yusof) untuk tatapan umum bagi sama-sama kita membuat penilaian dan menjawab terhadap tuduhan sesat oleh segelintir masyarakat ramai terhadap ilmu makrifat Tok Kenali.

Daripada Hj. Shaari Hj. Mohd Yusof.

S.K
Jabatan JAKIM
Jabatan KDN
Jabatan Majlis Fatwa Kebangsaan

Sila sebarkan jawapan dan hujah saya ini kepada semua pihak. Amin…

6 Replies to “Surat Hj. Shaari Kepada Pihak JAKIM, KDN dan Majlis Fatwa”

  1. Itulah sebabnya umat Islam sekarang tidak lagi dihormati oleh yang bukan Islam,kerana setiap perbuatan tidak lagi berserta dengan haq, hanya seperti angin lalu dan tidak berbekas dihati, inilah yang banyak terjadi pada ulama2 sekarang, hanya menghafal banyak hadis dan hukum dan melihat dengan mata tertutup tanpa mengkaji secara praktikal apa yang mereka fikir sesat.
    Kepada tuan hj.Shaari saya sarankan supaya tidak perlulah lagi untuk merayu kepada mereka,kerana bagi mereka yg benar adalah gaji dan pangkat saja

    Like

    1. Mereka mengatakan banyak hadis palsu. Tapi salah satu rujukan mereka adalah ulama2 yg terlibat dgn freemason, menyokong British menentang khalifah Uthmaniah Turki & menghalalkan riba seperti Rashid Ridha, Muhammad Abduh, Jamaluddin Al-Afghani, Sayyid Qutub.

      Like

  2. jangan takut dg penguasa yg zolim Tuan guru karya tuan guru sangat-sangat kami natikan di Indonesia kalau karya tuan guru di pulaukan di malaysia cobalah menyebarkanya di indonesia InsyaALLah akan di hargai

    Like

  3. assalamualaikum Tuan,

    Untuk membuktikan ilmu makrifat perlulah dari Al Quran. Bagi saya individu, jika ilmu itu tidak bercanggah dengan Al Quran, maka ianya dibolehkan. Untuk membawa kitab makrifat perlulah di bahaskan dengan ayat ayat Al Quran dan hadith yg amat dipegang oleh org org syariat. Nabi Muhammad ibni abdullah juga sedar akan ilmu makrifat tidak dapat di sebarkan di masyarakat secara terbuka kerana ilmu ini hanya kepada Allah dan bukan kepada keduniaan. Makanya susah diterima oleh kebiasaan orang. Cukuplah menjadi keyakinan dan kecintaan dalam diri individu yang terpilih.

    Like

  4. Assalamualaikum Tn Hj. .. Alhamdulillah saya bersyukur atas pendirian Tn Hj mempertahankan haq kebenaran ilmu makrifatulah Tok Kenali
    Mereka2 yg di luar sana hanya pandai menghukum dan merasakan mereka lah ahli syurga…maysaAllah tidakkah mereka ketahui bahawa hanya rahmat dan keredhaan Allah serta syafaat Allah sahaja yang membolehkan kedudukan seseorang di sisi Tuhan yg Maha Kuasa
    Dengan penerangan surat yg di kemukakan olih Tn Hj kepada pihak authority agama telah membuat dan meyakinkan keteguhan saya dengan Ilmu Tok Kenali ini
    Walaupun saya tidak pernah menghadiri ceramah yg di anjurkan tetapi saya seringkali mengulangi DVD yg saya beli melalui pesanan
    Alhamdulillah keyakinan saya dan pengenalan saya semakin hari semakin mantap
    Saya juga mempunyai referensi2 ttg ilmu makrifat dan yg arif ttg ilmu yg di bahaskan
    Alhamdulillah semua guru2 ilmu makrifat mempunyai pemahaman dan pendekatan yg sama. Iaitu menuju kepada tuhan yg satu
    Alhamdulillah sekali lagi dan puji syukur saya kehadrat Illahi atas keberanian dan ketegasan Tn Hj dalam memperjuangkan ilmu yg sebenar benarnya ilmu yg harus dimiliki olih makhluk Allah
    Saya akhiri dengan mendoakan kesejahteraan dan kesihatan buat Tn Hj sekeluarga dan dapat meneruskan dan mempertingkatkan perjuangan yg harus berkesinambungan tanpa henti
    Wabillahi taufiq wassalamualaikum wbr

    Like

Leave a comment